12.11.15

Supermom dan qanaah



Mak..
Satu sosok yang dipinjamkan Allah dengan deria pemahaman yang tinggi terhadap anak-anaknya. Sudahkan pulak aku yang bongsu kata orang lebih dekat dan rapat dengan ibunya. Memang itu kenyataan antara beradik yang lain, aku yang paling manja dan dekat dengan mak. Jiwa mak memang menenangkan. Dan aku memang gemar mendengar dan berkongsi dengan mak. Mak bukanlah wanita yang bekerjaya dan sekolah hanya bertamatan sehingga tingkatan satu atas kesusahan hidup keluarga memandangkan mak anak pertama, jadi memberi dan mengorban lebih banyak digalas atas bahu mak. Aku kagumi kudrat mak yang mampu berpatah tulang mengerjakan sawah bendang. Dek kerana sumber pernafasan keluarga adalah dari hasil padi, jadi dikorban pelajaran dan masa depan. Sambil- sambil membanting sawah, mak memasak dan menjaga adik adiknya setelah pulang dari bendang. Subhanallah mak. 'Tak penat ke wahai ibuku?' Aku sampai menangis mengingatkan perkara ini. Betapa kudratnya kuat. Bersama nenek, mak menahan air mata dan keperitan hidup membesarkan 7 orang adik beradik dengan hinaan orang kampung menjadi makanan ruji lantaran kemiskinan dan status nenek pada waktu itu. Kuatnya mak :'(

Mak dulu orangnya cantik. Ramai golongan tua dari kampung sebelah yang ingin bermenantukan mak. Tapi semuanya ditolak. Memikirkan susah ibunya (nenek) yang masih tersisa sehingga mak digelar anak dara tua (mak kahwin pada umur 23 tahun yang dikira sudah agak telat pada waktu itu). Mana mungkin mak mampu lupa bagaimana layanan orang terhadap mereka. Bagaimana susahnya meminta-minta, mengharap belas orang lain. Tapi kata mak, 

"Itu yang membuatkan kehidupan menjadi sangat indah. Sebab apa? Sebab kita berkehidupan kerana Allah dan bergantung sepenuhnya pada Dia. Kerana mak miskin, mak sedar satu perkara. Bahawa Allah tak pernah ciptakan kemiskinan. Manusia je yang meninggi dan negatif."

"Habistu mak, Allah ciptakan apa? Bukan ke Allah yang ciptakan kekayaan dan Dia jugalah yang menciptakan kemiskinan?"

"Adik rasa? Seringan itukah Allah menjadikan sesuatu perkara?"

"Adik tak pasti. Yang adik pasti Allah mestilah Maha Teliti"

"Allah tak ciptakan kekayaan dengan kemiskinan. Tapi Allah berfirman dalam surah an-najm ayat ke 48, bahawasanya Dia menciptakan kekayaan dan kecukupan. Indahkan?"

"Subhanallah. Patutlah ada yang miskin tapi hidupnya ketergantungan pada dunia. Selama kita bersyukur, selagi tu kita akan rasa kaya dan cukup. Kan mak?"

"Betul. Jangan difikir hidup ini sukar. Jadilah orang yang bersyukur. Dapat sesuatu mulutnya lekas bertahmid. Tidak persoal banyak kenapa aku dapat itu kenapa aku dapat ini. Bersyukur untuk sentiasa berasa cukup."


Ah mak, kata katamu seberat ujian yang pernah kau tanggung. Berat. Hingga tenggelam dalam kedasar jiwa dan ruh anakmu.Berharap dalam hati, moga anakmu mampu menjadi ibu yang terbaik sepertimu :')



-----

Moga mak direzekikan Allah menjadi jiran kepada Rasulullah Sollallahu Alaihi Wassalam di syurga kelak
Aamiiin Ya Khaliq

No comments:

Post a Comment